Bukan
mudah menjadi suami kerana tanggungjawab yang digalas oleh suami adalah sangat
besar terutama dalam bab tanggungjawab mereka terhadap isteri mereka dan
anak-anak perempuan mereka. Bagi memudahkan kefahaman, tulisan ringkas ini akan
fokus kepada isu lelaki dayus yang dimaksudkan oleh Nabi s.a.w tidak akan masuk
syurga.
Nabi
s.a.w bersabda:
ثلاثة
لا ينظر الله عز وجل إليهم يوم القيامة: العاق لوالديه، والمترجلة، والديوث. رواه
أحمد والنسائي
Ertinya:
Tiga golongan yang Allah tidak akan melihat (bermakna tiada bantuan dari
dikenakan azab) mereka di hari kiamat: Si penderhaka kepada ibu bapa, si
perempuan yang menyerupai lelaki dan si lelaki dayus. (H.R. Ahmad dan
An-Nasaie; Albani mengesahkannya Sahih : Ghayatul Maram, no. 278)
Dalam
sebuah hadith lain pula:
ثلاثةٌ قد حَرّمَ اللهُ – تَبَارَكَ وَتَعَالَى – عليهم
الجنةَ : مُدْمِنُ الخمر ، والعاقّ ، والدّيّوثُ الذي يُقِرُّ في أَهْلِهِ
الخُبْثَ . رواه أحمد والنسائي .
Ertinya:
Tiga yang telah Allah haramkan baginya syurga: Orang yang ketagih arak, si
penderhaka kepada ibu bapa dan si dayus yang membiarkan maksiat dilakukan oleh
ahli keluarganya. (H.R. Ahmad)
Malah
banyak lagi hadith-hadith yang membawa makna yang hampir dengan dua hadith ini.
Secara ringkasnya, apakah dan siapakah lelaki dayus?
Erti
Dayus
Dayus
telah disebutkan dalam beberapa riwayat athar dan hadith yang lain iaitu:
1.
Sabda Nabi s.a.w:
وعن
عمار بن ياسر عن رسول الله قال ثلاثة لا يدخلون الجنة أبدا الديوث والرجلة من
النساء والمدمن الخمر قالوا يا رسول الله أما المدمن الخمر فقد عرفناه فما الديوث
قال الذي لا يبالي من دخل على أهله
Ertinya:
Dari Ammar bin Yasir berkata, ia mendengar dari Rasulullah s.a.w bersabda: Tiga
yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaitu si dayus, si wanita yang
menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak. Lalu sahabat berkata: Wahai
Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu
dayus? Bersabda Nabi s.a.w: Iaitu orang yang tidak memperdulikan siapa yang
masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya). (H.R. At-Thabrani;
Majma az-Zawaid, 4/327 dan rawinya adalah thiqat)
Dari
hadith di atas, kita dapat memahami bahawa maksud lelaki dayus adalah si suami
atau bapa yang langsung tiada perasaan risau dan ambil endah dengan siapa
isteri dan anaknya bersama, bertemu, malah sebahagiannya membiarkan sahaja
isterinya dan anak perempuannya dipegang dan dipeluk oleh sebarangan lelaki
lain.
2.
Pernah juga diriwayatkan dalam hadith lain, soalan yang sama dari sahabat
tentang siapakah dayus, lalu jawab Nabi:-
قالوا
يا رسول الله وما الديوث قال من يقر السوء في أهله
Ertinya:
Apakah dayus itu wahai Rasulullah? Jawab Nabi: Iaitu seseorang (lelaki) yang
membiarkan kejahatan (zina, buka aurat, bergaul bebas) dilakukan oleh ahlinya
(isteri dan keluarganya)
Penerangan
Ulama Tentang Lelaki Dayus
Jika
kita melihat tafsiran oleh para ulama berkenaan istilah dayus, ia adalah
seperti berikut:
هو
الذي لا يغار على أهله
Ertinya:
Seseorang yang tidak ada perasaan cemburu (kerana iman) terhadap ahlinya
(isteri dan anak-anaknya) (An-Nihayah,2/147 ; Lisan al-Arab, 2/150)
Imam
Al-‘Aini pula berkata: Cemburu lawannya dayus. (Umdatul Qari, 18/228)
Berkata
pula An-Nuhas:
قال
النحاس هو أن يحمي الرجل زوجته وغيرها من قرابته ويمنع أن يدخل عليهن أو يراهن غير
ذي محرم
Ertinya:
Cemburu (iaitu lawan kepada dayus) adalah seorang lelaki itu melindungi
isterinya dan kaum kerabatnya dari ditemui dan dilihat (auratnya) oleh lelaki
bukan mahram. (Tuhfatul Ahwazi, 9/357)
Disebut
dalam kitab Faidhul Qadir:
فكأن
الديوث ذلل حتى رأى المنكر بأهله فلا يغيره
Ertinya:
Seolah-olah takrif dayus itu membawa erti kehinaan (kepada si lelaki) sehingga
apabila ia melihat kemungkaran (dilakukan) oleh isteri dan ahli keluarganya ia
tidak mengubahnya. (Faidhul Qadir, 3/327)
Imam
Az-Zahabi pula berkata:
فمن
كان يظن بأهله الفاحشة ويتغافل لمحبته فيها فهو دون من يعرس عليها ولا خير فيمن لا
غيرة فيه
Ertinya:
Dayus adalah sesiapa yang menyangka (atau mendapat tanda) bahawa isterinya
melakukan perkara keji (seperti zina) maka ia mengabaikannya kerana cintanya
kepada isterinya, maka tiada kebaikan untuknya dan tanda tiada kecemburuan
(yang diperlukan oleh Islam) dalam dirinya. (Al-Kabair, 1/62)
Imam
Ibn Qayyim pula berkata:
قال
ابن القيم وذكر الديوث في هذا وما قبله يدل على أن أصل الدين الغيرة من لا غيرة له
لا دين له فالغيرة تحمي القلب فتحمى له الجوارح فترفع السوء والفواحش وعدمها يميت
القلب فتموت الجوارح فلا يبقى عندها دفع البتة
Ertinya:
Sesungguhnya asal dalam agama adalah perlunya rasa ambil berat (protective)
atau kecemburuan (terhadap ahli keluarga), dan barangsiapa yang tiada perasaan
ini maka itulah tanda tiada agama dalam dirinya, kerana perasaan cemburu ini
menjaga hati dan menjaga anggota sehingga terjauh dari kejahatan dan perkara
keji, tanpanya hati akan mati maka matilah juga sensitiviti anggota (terhadap
perkara haram), sehingga menyebabkan tiadanya kekuatan untuk menolak kejahatan
dan menghindarkannya sama sekali.
Dayus
Adalah Dosa Besar
Ulama’
Islam juga bersetuju untuk mengkategorikan dayus ini dalam bab dosa besar,
sehingga disebutkan dalam satu athar:
لَعَنَ
اللَّهُ الدَّيُّوثَ ( وَاللَّعْنُ مِنْ عَلَامَاتِ الْكَبِيرَةِ فَلِهَذَا وَجَبَ
الْفِرَاقُ وَحَرُمَتْ الْعِشْرَةُ)
Ertinya:
Allah telah melaknat lelaki dayus (laknat bermakna ia adalah dosa besar dan
kerana itu wajiblah dipisahkan suami itu dari isterinya dan diharamkan bergaul
dengannya) (Matalib uli nuha, 5/320)
Walaupun
ia bukanlah satu fatwa yang terpakai secara meluas, tetapi ia cukup untuk
menunjukkan betapa tegasnya sebahagian ulama dalam hal kedayusan lelaki ini.
Petikan ini pula menunjukkan lebih dahsyatnya takrifan para ulama tentang erti
dayus dan istilah yang hampir dengannya :
والقواد
عند العامة السمسار في الزنى
Ertinya:
Al-Qawwad (salah satu istilah yang disama ertikan dengan dayus) di sisi umum
ulama adalah broker kepada zina. (Manar as-sabil, 2/340 , rawdhatul tolibin,
8/186)
Imam
Az-Zahabi menerangkan lagi berkenaan perihal dayus dengan katanya:
الديوث
وهو الذي يعلم بالفاحشة في أهله ويسكت ولا يغار وورد أيضا أن من وضع يده على امرأة
لا تحل له بشهوة
Ertinya:
Dayus, iaitu lelaki yang mengetahui perkara keji dilakukan oleh ahlinya dan ia
sekadar senyap dan tiada rasa cemburu (atau ingin bertindak), dan termasuk juga
ertinya adalah sesiapa yang meletakkan tangannya kepada seorang wanita yang
tidak halal baginya dengan syahwat. (Al-kabair, 1/45)
Cemburu
Dituntut Islam & Jangan Marah
Ada
isteri yang menyalahkan suami kerana terlalu cemburu, benar cemburu buta memang
menyusahkan, memang dalam hal suami yang bertanya isteri itu dan ini menyiasat,
saya nasihatkan agar isteri janganlah memarahi suami anda yang melakukan
tindakan demikian dan jangan juga merasakan kecil hati sambil membuat
kesimpulan bahawa suami tidak percaya kepada diri anda. Kerap berlaku, suami
akan segera disalah erti sebagai ‘tidak mempunyai kepercayaan’ kepada isteri.
Sebenarnya,
kita perlu memahami bahawa ia adalah satu tuntutan dalam Islam dan menunjukkan
anda sedang memiliki suami yang bertanggungjawab dan sedang subur imannya.
Selain
itu, bergembiralah sang suami yang memperolehi isteri solehah kerana suami
tidak lagi sukar untuk mengelakkan dirinya dari terjerumus dalam lembah
kedayusan. Ini kerana tanpa sebarang campur tangan dan nasihat dari sang suami,
isteri sudah pandai menjaga aurat, maruah dan dirinya.
Nabi
s.a.w bersabda:
من
سعادة ابن آدم المرأة الصالحة
Ertinya:
Dari tanda kebahagian anak Adam adalah memperolehi wanita solehah (isteri dan
anak). (H.R. Ahmad, no. 1445, 1/168)
Memang
amat beruntung, malangnya tidak mudah memperolehi isteri solehah di zaman
kehancuran ini, sebagaimana sukarnya mencari suami yang tidak dayus. Sejak
dulu, agak banyak juga email dari pelbagai golongan muda menyebut tentang
keterlanjuran mereka secara ‘ringan’ dan ‘berat’, mereka ingin mengetahui cara
bertaubat.
‘Ringan-ringan’
Sebelum Kahwin
Jika
seorang bapa mengetahui ‘ringan-ringan’ anak dan membiarkannya, ia dayus. Ingin
ditegaskan, seorang wanita dan lelaki yang telah ‘ringan-ringan’ atau
‘terlanjur’ sebelum kahwin di ketika bercinta, tanpa taubat yang sangat serius,
rumahtangga mereka pasti goyah. Kemungkinan besar apabila telah berumahtangga,
si suami atau isteri ini akan terjebak juga dengan ‘ringan-ringan’ dengan orang
lain pula.
Hanya
dengan taubat nasuha dapat menghalangkan aktiviti mungkar itu dari melepasi
alam rumahtangga mereka. Seterusnya, ia akan merebak pula kepada anak-anak
mereka, ini kerana benih ‘ringan-ringan’ dan ‘terlanjur’ ini akan terus merebak
kepada zuriat mereka. Awas!!
Dalam
hal ini, semua suami dan ayah perlu bertindak bagi mengelakkan diri mereka
jatuh dalam dayus. Jagalah zuriat anda. Suami juga patut sekali sekala menyemak
handphone isteri, beg isteri dan lain-lain untuk memastikan tiada yang diragui.
Mungkin ada isteri yang curang ini dapat menyembunyikan dosanya, tetapi
sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan tertangkap jua.
Pasti
akan ada wanita yang kata, “Habis, kami ini tak payah check suami kami ke
ustaz?” Jawabnya, perlu juga, cuma topic sekarang ni sedang menceritakan
tanggungjawab suami. Maka perlulah fokus kepada tugas suami dulu.
Cemburu
seorang suami dan ayah adalah wajib bagi mereka demi menjaga maruah dan
kehormatan isteri dan anak-anaknya.
Diriwayatkan
bagaimana satu peristiwa di zaman Nabi:
قَالَ
سَعْدُ بْنُ عُبَادَةَ : لَوْ رَأَيْتُ رَجُلاً مَعَ امْرَأَتِي لَضَرَبْتُهُ
بِالسّيْفِ غَيْرُ مُصْفِحٍ عَنْهُ ، فَبَلَغَ ذَلِكَ رَسُولَ اللّهِ صلى الله
عليه على آله وسلم فَقَالَ : أَتَعْجَبُونَ مِنْ غَيْرَةِ سَعْدٍ ؟ فَوَ الله
لأَنَا أَغْيَرُ مِنْهُ ، وَالله أَغْيَرُ مِنّي ، مِنْ أَجْلِ غَيْرَةِ الله
حَرّمَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَن.
Ertinya:
Berkata Ubadah bin Somit r.a: Jika aku nampak ada lelaki yang sibuk bersama
isteriku, nescaya akan ku pukulnya dengan pedangku, maka disampaikan kepada
Nabi akan kata-kata Sa’ad tadi, lalu Nabi s.a.w bersabda : Adakah kamu kagum
dengan sifat cemburu (untuk agama) yang dipunyai oleh Sa’ad? Demi Allah, aku
lebih kuat cemburu (ambil endah dan benci demi agama) berbandingnya, malah
Allah lebih cemburu dariku, kerana kecemburuan Allah itulah maka diharamkan
setiap perkara keji yang ternyata dan tersembunyi. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Lihat
betapa Allah dan RasulNya inginkan para suami dan ayah mempunyai sifat
protective kepada ahli keluarga dari melakukan sebarang perkara keji dan
mungkar, khasnya zina.
Bila
Lelaki menjadi Dayus?
Secara
mudahnya cuba kita lihat betapa ramainya lelaki akan menjadi DAYUS apabila:
1.
Membiarkan kecantikan aurat, bentuk tubuh isterinya dinikmati oleh lelaki lain
sepanjang waktu pejabat (jika bekerja) atau di luar rumah.
2.
Membiarkan isterinya balik lewat dari kerja yang tidak diketahui bersama dengan
lelaki apa dan siapa, serta apa yang dibuatnya di pejabat dan siapa yang
menghantar.
3.
Membiarkan aurat isterinya dan anak perempuannya dewasanya terlihat (terselak
kain) semasa menaiki motor atau apa jua kenderaan sepanjang yang menyebabkan
aurat terlihat.
4.
Membiarkan anak perempuannya ber’dating’ dengan tunangnya atau teman lelaki
bukan mahramnya.
5.
Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan pasangannya di rumah kononnya ibu
bapa ‘sporting’ yang memahami.
6.
Menyuruh, mengarahkan dan berbangga dengan anak perempuan dan isteri memakai
pakaian yang seksi di luar rumah.
7.
Membiarkan anak perempuannya memasuki akademi fantasia, mentor, gang starz dan
lain-lain yang sepertinya sehingga mempamerkan kecantikan kepada jutaan manusia
bukan mahram.
8.
Membiarkan isterinya atau anaknya menjadi pelakon dan berpelukan dengan lelaki
lain, kononnya atas dasar seni dan lakonan semata-mata. Adakah semasa berlakon
nafsu seorang lelaki di hilangkan? Tidak sama sekali.
9.
Membiarkan isteri kerja dan keluar rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna.
10.
Membiarkan isteri disentuh anggota tubuhnya oleh lelaki lain tanpa sebab yang
diiktiraf oleh Islam seperti menyelematkannya dari lemas dan yang sepertinya.
11.
Membiarkan isterinya bersalin dengan dibidani oleh doktor lelaki tanpa terdesak
dan keperluan yang tiada pilihan.
12.
Membawa isteri dan anak perempuan untuk dirawati oleh doktor lelaki sedangkan
wujudnya klinik dan hospital yang mempunyai doktor wanita.
13.
Membiarkan isteri pergi kerja menumpang dengan teman lelaki sepejabat tanpa
sebarang cemburu.
14.
Membiarkan isteri kerap berdua-duan dengan pemandu kereta lelaki tanpa sebarang
pemerhatian.
Terlalu
banyak lagi jika ingin coretkan di sini. Kedayusan ini hanya akan sabit kepada
lelaki jika semua maksiat yang dilakukan oleh isteri atau anaknya secara
terbuka dan diketahui olehnya, adapun jika berlaku secara sulit, suami tidaklah
bertanggungjawab dan tidak sabit ‘dayus’ kepada dirinya.
Mungkin
kita akan berkata dalam hati: “Jika demikian, ramainya lelaki dayus di
kelilingku.”
Lebih
penting adalah kita melihat, adakah kita sendiri tergolong dalam salah satu
yang disebut tadi. Awas wahai lelaki beriman, jangan kita termasuk dalam
golongan yang berdosa besar ini. Wahai para isteri dan anak-anak perempuan,
jika anda sayangkan suami dan bapa anda, janganlah anda memasukkan mereka dalam
kategori dayus yang tiada ruang untuk ke syurga Allah s.w.t. Sayangilah dirimu
dan keluargamu. Jagalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.
Akhirnya,
wahai para suami dan ayah, pertahankan agama isteri dan keluargamu walau
terpaksa bermatian kerananya. Nabi s.a.w bersabda:
من
قتل دون أهله فهو شهيد
Ertinya:
Barangsiapa yang mati dibunuh kerana mempertahankan ahli keluarganya, maka ia
adalah mati syahid. (H.R. Ahmad; sahih menurut Syeikh Syuaib Arnout)
Oleh:
Ustaz Zaharuddin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan